Need for Speed ProStreet


Bukan mudah untuk menghasilkan permainan baru setiap tahun lebih-lebih lagi dalam satu siri yang sama. Malah para pengguna tidak akan mahu permainan yang mempersembahkan kepermainan yang sama setiap kali dikeluarkan di pasaran. Contoh yang paling baik adalah Need For Speed, permainan perlumbaan kereta yang paling popular di dunia dan pengeluarnya EA telah mencuba untuk menghasilkan sesuatu yang baru dalam siri ini. Namun adakah ProStreet berjaya mencapai tahap yang diharapkan?

Tidak seperti permianan Need for Speed yang sebelum ini, ProStreet menghidangkan satu jalan cerita yang mengisahkan perjalanan kerjaya Ryan Cooper sebagai pemandu jalanan yang sah. Namun yang penting dalam permainan ini adalah perlumbaan dan menang!

Setiap perlumbaan mengandungi beberapa acara berlainan. Ini biasa di dalam permainan Need for Speed yang lain. Perlumbaan biasa melibatkan lapan kereta dan sasaran anda adalah untuk mendapat tempat pertama. Dalam acara lain anda perlu mendapatkan masa terpantas atau kelajuan tertinggi menerusi beberapa checkpoint atau masa terbaik dalam kelas kereta anda. Perlumbaan Drift juga ada dan kali ini telah ditingkatkan untuk memudahkan pemain mengawalnya. Anda juga akan banyak melakukan perlumbaan drag tetapi ini akan membuatkan anda bosan kerana terlalu banyak permainan mini yang perlu akan lakukan.

Mengenai kereta pula, anda boleh mendapatkan kereta hebat seperti Lamborghini atau Zonda setelah anda bersusah-payah berlumba. Sebelum itu anda akan berlumba dengan kereta-kereta biasa dan berlumba dalam litar-litar yang kelihatan biasa sahaja. Anda juga akan dikejar polis dan anda juga boleh melarikan diri daripadanya. Dalam setiap perlumbaan pula pasti akan ada kemalangan dan juga kerosakan kereta yang mana anda perlu membaikinya dengan bantuan beberapa pakar pembaiki kereta. Malangnya kami ketemu dengan beberapa bahagian permainan yang mempunyai pepijat dan ini melambatkan kawalan dan juga kereta anda terbabas.

Anda perlu menang dalam perlumbaan untuk menjadi dominan dalam permainan ini. Setiap perlumbaan ayang dianugerahkan mata menurut kedudukan anda dalam perlumbaan itu. Jika anda dapat tempat pertama mata anda akan tinggi dan jika anda berada di tempat tercorot, corot jugalah mata yang anda perolehi.

Anda tidak akan selalu mendapat perlumbaan yang mudah dan juga lancar. Adakala anda menang adakalanya anda kalah. Anda perlu bijak memilih kereta jika anda salah pilih anda pasti akan ketinggalan. Untuk itu anda boleh membeli kereta baru atau mengubahsuai kereta anda. Namun ada di antara sistem pengubahsuaian itu tidak dapat anda gunakan dalam perlumbaan. Membazir betul!

Anda boleh membentuk perlumbaan anda sendiri dengan memilih lokasi, jenis perlumbaan dan jenis kereta yang boleh menyertainya. Anda juga boleh bermain perlumbaan ini dalam talian (online). Namun anda perlu bersabar kerana perlumbaan dalam talian banyak masalah dan agak perlahan kerana ia bergantung kepada kelajuan talian serta kelajuan pelayan.

Iklan terlalu banyak dalam permainan ini, malah semasa anda bermain dalam talian iklan-iklan baru akan dimuat turun ke PC anda. Namun iklan-iklan ini akan menganggu annda kerana terlalu banyak terpampang di sekitar skrin anda.

Untuk mendapatkan kelancaran yang maksima daripada permainan Need For Speed anda perlukan PC yang berkuasa tinggi. Dengan PC ini anda pasti akan dapat melihat kereta, suasana sekeliling dan litar yang cantik dan menarik. Malah tiada gangguan semasa berlumba kecuali pepijat kecil sahaja. Grafik lain seperti asap, kerosakan kereta dan wajah kereta lain semasa berlumba kurang menarik. Malah adakalanya anda akan mengalami kegagalan perisian dalam sebarang tetapan visual. Audio dalam Need For Speed ProStreet ini juga kurang memuaskan. Suara pengulas tidak jelas dan muzik juga tidak berapa menarik. Bunyi kereta OK dan sama sahaja dalam sebarang bentuk kelajuan dan selekoh.

Need For Speed ProStreet tidak seperti yang diharapkan tetapi ia masih boleh ditingkatkan lagi. Nampaknya permainan perlumbaan masih sama yang berlumba kereta tetap lumba kereta.

Menanti Kelahiran USB 3.0

Sediakan 10 kali ganda lebih kelajuan berbanding USB 2.0

Kata orang menanti kelahiran anak pertama sungguh mendebarkan. Mungkin itulah yang dirasai oleh pengikut dunia IT di luar sana. Berdebar-debar dan teruja menantikan kelahiran atau kemunculan bukan anak tetapi teknologi Universal Serial Bus (USB) 3.0 yang bakal memberi kelajuan dan kecekapan 10 kali ganda lebih tinggi berbanding USB 2.0.

Meskipun masih dalam peringkat prototaip, serba sedikit informasi mengenainya sudah pun di bawa keluar dan sedang hebat diperkatakan di forum mahu pun laman web IT. Ia untuk memastikan agar penggemar IT atau pengguna di luar sana mengetahui bahawa kita sedang menuju ke teknologi yang lebih canggih dan maju.

Jika kita sentuh sedikit mengenai sejarahnya, USB merupakan teknologi standard bas Serial untuk antaramuka peranti yang membenarkan perhubungan pada soket antaramuka tunggal. Ia turut dicipta untuk meningkatkan keupayaan Plug and Play dengan membenarkan peranti disambungkan (connect) dan merungkai sambungan (disconnect) tanpa perlu ‘reboot’ Hot Swapping pada komputer. Ia memberi cara mudah kerana pengguna tidak perlu lagi melalui beberapa protokol remeh untuk pemasangan dan perungkaian pada sistem komputer.

Satu lagi yang menjadi kelebihan teknologi USB ini ialah penggunaan kuasa rendah. Ia kerana sumber kuasa luaran dan pemacu peranti individu spesifik tidak diperlukan untuk menjalankan USB. Pengguna boleh terus menggunakan peranti yang disambung tanpa perlu ‘banyak soal’. Ia sesuai dengan konsep asal ciptaan USB iaitu untuk membantu perhubungan pelbagai peranti pada satu port mudah dan mengurangkan penggunaan wayar yang kadangkala berserabut dan boleh memeningkan kepala pengguna.

USB memungkinkan perhubungan peralatan komputer seperti tetikus, papan kekunci, PDA, pad permainan, joystik, pengimbas, pencetak dan banyak lagi. Kini, ia telah menjadi teknologi lazim dan ‘wajib ada’ pada setiap peralatan atau peranti IT termasuk peranti wayarles yang tidak memerlukan sambungan pada komputer seperti pencetak tanpa rangkaian atau pencetak multi-fungsi.

Selain itu, di awal kemuculan USB iaitu sekitar tahun 1995 hingga 1996, USB 1.0 yang ditawarkan kepada pengguna adalah pada kadar kelajuan hanya 1.5Mbit sesaat (kelajuan-rendah) dan 12Mbit sesaat untuk kelajuan tinggi. Kemudian muncul pula USB 2.0 pada April 2000 yang memperkenalkan kelajuan 480Mbit sesaat (kelajuan tinggi) untuk pemindahan data. Ia merupakan teknologi yang banyak kita gunakan masa kini.

Jika anda rasakan penyambungan USB 2.0 atau contoh mudah pemacu flash yang anda gunakan sekarang boleh memindahkan data dengan pantas pada kelajuan 480Mbit sesaat (mudah bukan). Bayangkan bagaimana agaknya keadaaan apabila teknologi USB 3.0 berupaya memindahkan data pada kelajuan bukan satu tetapi sepuluh kali ganda berbanding spesifikai USB yang anda gunakan sekarang. Tentu mengagumkan!